Saturday, 20 September 2014

PEMILIHAN WARNA MEMPENGARUHI EMOSI

 "Anggun Di Luar Serlah Pesona Dari Dalam"

Merah
Sesuai untuk mereka yang berkulit cerah. Warna cerah sesuai dipakai jika kita ingin menampilkan diri dalam sesuatu masa atau tempat. Warna ini tidak sesuai dipakai jika kita dalam keadaan penat atau pun murung. Warna ini lebih sesuai dikenakan dalam majlis ataupun tempat supaya kita dapat dikenali dengan mudah.
Merah Jambu
Warna untuk wanita. Ianya sesuai untuk bagi perhubungan sosial yang santai. Ia kurang sesuai bagi jalinan perhubungan profesional.
Kuning
Warna ini sesuai dikenakan oleh seseorang yang ingin menampilkan imej ceria, gembira dan jenaka dalam perhubungan sosial. Kurang sesuai untuk perhubungan profesional dan formal kerana ia menggambarkan sifat bersahaja. Orang yang mengenakan pakaian berwarna ini dilihat sebagai orang yang kreatif, optimis dan berani mencuba. Walaubagaimanapun, mereka juga dilihat sebagai seorang yang pengecut atau licik apabila  ia digandingkan dengan warna pakaian sampingan ataupun aksesori yang tidak sesuai.
Biru
Pakaian ini sesuai dikenakan oleh setiap lapisan umur. Warna biru muda atau biru laut adalah warna yang cukup menarik pada mata yang memandang. Oleh itu, ia sesuai dikenakan dalam apa sahaja tempat dan keadaan. Ia juga sesuai bagi setiap jenis kulit. Bagi wanita yang berkulit cerah, warna biru padan bagi membangkitkan seri wajah dan tubuh apabila digandingkan dengan warna sampingan yang sesuai.
Biru Tua
Warna yang sesuai bagi setiap warna kulit. Warna jenis ini dapat memberi persepsi baik kepada mata yang melihat, apabila ia dikenakan pada pakaian yang bersifat klasik dan menampilkan kuasa, contohnya kemeja, kot, blazer, seluar dan kain. Pakaian berwarna biru adalah yang paling sesuai pada setiap tempat dan keadaan. Dalam dunia profesional, warna ini memberikan mesej kuasa dan autoriti individu yang memakainya.
Kelabu
Pakaian berwarna kelabu adalah yang paling sukar disesuaikan kerana ia memberikan mesej yang terlalu kontras. Pemilihan corak dan rekaan yang sesuai memberikan imej yang positif. Sebaliknya, apabila individu mengenakan pakaian berwarna kelabu dengan corak dan rekaan yang malap,  maka ia memberikan imej sedih, suram dan tidak bersemangat.
Oleh itu, individu yang hendak mengenakan pakaian berwarna kelabu perlu peka dengan corak rekaan dan kecerahan warnanya. Kita juga perlu prihatin dengan aksesori tambahan yang digandingkan dengan pakaian berwarna ini. Walau bagaimanapun, warna kelabu juga dikaitkan dengan imej profesional. Ia menggambarkan kesederhanaan dan hormat. 
Oren
Oren adalah warna keceriaan. Warna oren sesuai bagi setiap jenis warna kulit. Ia menggambarkan  si pemakai sebagai orang yang mudah mesra dan prihatin. Warna ini sesuai dikenakan pada pakaian sosial. Warna ini tidak sesuai  bagi pakaian yang bersifat profesioanl. Ia adalah warna yang paling sedikit dapat dikenakan dalam dunia profesional kerana ia menurunkan status profesional individu yang memakainya di mata mereka yang melihatnya.
Elakkan mengenakan pakaian berwarna ini dari kepala hingga ke kaki. Apabila kita memakai pakaian berwarna ini, seimbangkannya dengan warna lain yang bersifat lembut. Warna oren sesuai bagi aksesori tambahan wanita.
Hijau
Warna hijau adalah warna ketenangan sama seperti warna biru. Walau bagaimanapun,  pakaian yang berwarna hijau tidak memberi maksud yang serupa dengan warna biru. Terdapat sedikit perbezaan antara warna biru dan hijau. Warna hijau yang lembut seperti hijau pucuk pisang sesuai dipakai oleh semua orang tidak kira warna kulit.
Bagi wanita,  warna hijau sesuai bagi apa sahaja jenis pakaian. Orang yang memakai warna hijau lembut dapat memberi mesej tidak formal dan mesra.
Namun, kesan yang berbeza bagi warna hijau terang atau hijau gelap. Orang yang memakainya kadangkala dilihat sebagai individu yang malas dan membosankan. Oleh itu, apabila kita hendak mengguna warna seperti ini, cuba minimumkan jumlah warnanya.
Ungu
Warna ungu adalah warna pilihan. Warna ini sesuai bagi sesiapa sahaja yang ingin menampilkan diri sebagai orang yang dominan dan bijaksana. Warna ungu yang sederhana dan gelap lebih sesuai bagi wanita tanpa memadankannya dengan biru gelap ataupun kelabu. 
Coklat
Warna coklat sama ada coklat muda ataupun gelap lebih sesuai bagi aksesori tambahan. Walau bagaimanapun, kita boleh memakai pakaian berwarna coklat apabila ia adalah coklat lembut. Elakkan daripada memilih pakaian yang berwarna coklat dari kepala sehingga kaki. Pastikan penggunaan warna coklat adalah minimum bagi penampilan profesional.
Hitam
Warna hitam adalah sesuai bagi pakaian formal dalam dunia perniagaan dan profesional. Ia menggambarkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keseriusan individu yang memakainya dalam apa sahaja yang dilakukannya. Namun, elakkan memakai pakaian yang berwarna hitam dari kepala sehingga kaki kerana ia memberi imej buruk kepada  si pemakai.
Bagi wanita, pakaian berwarna hitam sesuai dikenakan apabila kita ingin menampilkan kekuasaannya. Apabila kita ingin menampilkan imej yang mudah didekati, elakkan memakai pakaian berwarna hitam, kecuali kain ataupun seluar longgar.
Putih & Krim
Pakaian berwarna putih dan krim sesuai digandingkan dengan warna lain. Ia memberikan imej neutral dan baik kepada mereka yang melihat. Contohnya, kemeja-T dan blaus yang berwarna putih sesuai pada setiap masa, tempat dan keadaan. Namun, elakkan memakai warna putih yang kosong dalam perhubungan yang bersifat professional.
Warna krim lebih bersesuaian kerana ia dapat mengurut mata dan emosi mereka yang memandang.
Elakkan memakai pakaian putih dari kepala sehingga kaki. Elakkan juga mengenakan aksesori yang berwarna putih. Ia kelihatan janggal.